Varian Baru COVID-19 Omicron
Dalam kita sibuk bekerja dan ada yang sudah merancang percutian bersama insan tersayang, timbul pula berita mengenai varian baru COVID-19, iaitu Omicron. Cik Min tak pasti sama ada anda sudah mendapat informasi ataupun belum mengenai varian baru ini. Risau jugalah sebab strain yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan itu dikhabarkan berbeza dengan varian sedia ada.
Jadi, untuk topik Cerita Malaysia hari ini, Cik Min nak berkongsi kepada anda mengenai varian baru ini.
Varian Baru COVID-19: Omicron Mempunyai Kadar Mutasi yang Tinggi
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran bahawa varian baru ini membawa risiko yang sangat tinggi, meskipun belum dapat dibuktikan lagi tahap bahaya dan penularan strain varian ini.
Walaupun tiada kematian direkodkan, namun potensi penyebaran varian baru COVID-19 Omicron ini di peringkat global dijangka adalah lebih tinggi.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut menyatakan bahawa varian ini mungkin kalis imunisasi dan kadar kebolehjangkitan adalah lebih tinggi berbanding varian lain.
Kita boleh lihat kes di Afrika, di mana puluhan penduduk yang disyaki positif varian ini hanya mengalami gejala biasa seperti keletihan.
Sekiranya varian ini menular dengan lebih pantas, maka kes akan melonjak naik dan sistem kesihatan akan mengalami tekanan.
Dikhuatiri, jika varian ini mengakibatkan lonjakan besar COVID-19, mungkin kesannya terhadap sistem kesihatan dunia menjadi lebih dahsyat.
Vaksinasi Diperlukan bagi Mengekang Penularan Varian Baru COVID-19: Omicron
WHO meminta supaya program vaksinasi dipercepat bagi seluruh dunia, terutamanya di negara yang berisiko mendapat varian ini.
Tambahan pula, Pengarah Serantau WHO Afrika, iaitu Matshidiso Moeti berkata, varian ini telah dikesan di beberapa tempat di dunia, yang secara tidak langsung menyebabkan perjalanan dari Afrika terpaksa disekat.
Contohnya di Belanda, didapati 13 kes daripada 61 penumpang yang dikuarantin kerana positif COVID-19, telah dikesan dijangkiti varian Omicron ini.
Disebabkan insiden itu, United Kingdom akan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di tempat awam dan dalam pengangkutan awam.
Berikutan itu, beberapa negara sudah memulakan sekatan perjalanan ke Afrika Selatan. Antaranya adalah seperti yang berikut:
- Qatar
- Amerika Syarikat
- United Kingdom
- Arab Saudi
- Belanda
- Kuwait
- Jerman
- Indonesia
- Perancis
Namun begitu, dikhabarkan puluhan ribu rakyat Austria melakukan perhimpunan bagi membantah pelaksanaan vaksin wajib yang diumumkan oleh kerajaan mereka.
Langkah Pencegahan Varian Baru COVID-19: Omicron
Selepas mengetahui mengenai varian baru COVID-19 ini, Cik Min jadi bertambah risau. Jadi, apa yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan daripada dijangkiti varian baru ini?
Beberapa kaedah pencegahan varian baru ini telah dikeluarkan oleh WHO yang boleh kita ikuti. Anda boleh lihat di bawah ini.
- Memakai pelitup muka ketika berada di luar.
- Menjaga penjarakkan fizikal, sekurang-kurangnya 1 meter.
- Elakkan berada di tempat yang sesak.
- Buka tingkap untuk meningkatkan pengudaraan.
- Gunakan siku atau tisu ketika batuk atau selesema.
- Dapatkan suntikan vaksin mengikut tarikh yang ditetapkan.
Tiada apa yang mampu Cik Min ungkapkan mengenai isu ini, selain daripada silalah jaga kesihatan anda.
Walaupun tiada bukti saintifik mengenai bahayanya varian ini di mana ia boleh menyebabkan kematian, tapi tidak salah untuk kita berjaga-jaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
Stay safe, semua.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.
Trend, Travel dan Filem