Water Confident | Selamatkan Diri Daripada Lemas?

22/04/2022 by 1 Comment

Apakah itu water confident? Water confident merupakan sebuah keyakinan dan ketenangan apabila berada di dalam air. Ia adalah sangat penting bagi seseorang perenang, ataupun bagi yang baru belajar berenang. Jom Cik Min kongsikan tips bagaimana untuk sentiasa tenang ketika berada di dalam air!

Pentingkah Water Confident?

Water Confident
Sumber : Google

Bagi individu yang takutkan air, lebih sukar baginya untuk menjadi tenang apabila berada di dalam air. Individu seperti ini akan lebih mudah berasa takut dan gelabah. Apabila hal ini terjadi, ia akan menyebabkan individu itu sukar untuk mengawal pergerakan tubuhnya, sehingga menyukarkan ia untuk mengapungkan diri. Perkara ini sangat bahaya, kerana seseorang itu akan menghadapi risiko lemas.

Sebenarnya, terdapat sebuah kajian yang menunjukkan bahawa, tubuh manusia lebih cenderung untuk terapung di dalam air. Hal ini demikian kerana, tubuh kita mempunyai daya apungan tersebut. Prinsip keapungan menyatakan bahawa, apabila sesuatu objek terapung di atas permukaan sesuatu cecair, berat cecair yang disesarkan oleh objek itu adalah sama dengan berat objek tersebut. Jadi, jika air yang disesarkan lebih berat daripada badan, maka kita akan lebih mudah terapung! Udara yang ada di dalam paru-paru manusia juga akan jadi kurang padat dan meningkatkan lagi daya apungan badan.

Bagaimanapun, syarat utama untuk seseorang itu mudah terapung di permukaan air ialah, ketenangan! Jika kita tenang dan selesa berada di dalam air, pergerakan badan juga akan menjadi lebih mudah, dan ia dapat bantu mengelakkan diri daripada risiko lemas.

Apakah Tips yang Boleh Digunakan | Water Confident

1. Ketahui kedalaman yang selamat untuk anda

Water Confident

Bagi seseorang yang tidak mempunyai water confident yang tinggi, anda perlu mengetahui kedalaman air sesuatu tempat sebelum masuk ke dalamnya. Contohnya, apabila mandi di kolam renang, pantai atau sungai, pastikan anda tahu seberapa dalam tempat tersebut! Untuk membina keyakinan di dalam air, belajarlah untuk membiasakan diri di tempat yang tidak terlalu dalam dan bolehlah cuba untuk berenang dan mengapungkan diri. Jika anda berasa seperti hendak lemas sekalipun, kaki anda masih boleh mencecah ke dasar air.

2. Ketahui teknik berenang yang betul

Water Confident

Untuk membina keyakinan di dalam air, anda juga perlu tahu teknik renang yang betul. Sebenarnya tidak perlu terlalu mahir dalam berenang pun, cukuplah sekadar tahu cara berenang yang betul.

Sebelum belajar berenang, pastikan anda tahu teknik ‘bubbling‘. Untuk teknik ini, anda hanya perlu menarik nafas menggunakan hidung, kemudian keluarkan udara melalui mulut sewaktu di dalam air. Apabila anda melakukan teknik ini, automatik badan anda akan terapung dengan sendirinya. Ulang perkara ini banyak kali, sehingga anda terbiasa melakukannya ketika berenang.

Pilih gaya renang yang selesa bagi anda, supaya lebih cepat untuk belajar berenang. Sebenarnya, ada 5 gaya renang yang anda boleh pelajari iaitu gaya bebas, gaya kupu-kupu, gaya katak, kuak dada dan kuak lentang. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang gaya renang tersebut, boleh tekan di sini.

Kalau Cik Min sendiri, Cik Min lebih selesa gaya bebas! Untuk lebih mahir lagi, Cik Min galakkan supaya anda ikuti kelas renang ya…

3. Tahu kemampuan diri

Berenang memerlukan seseorang individu untuk banyak menggunakan tenaga. Jadi sebelum masuk ke dalam air, pastikan anda makan terlebih dahulu dan membuat aktiviti pemanasan badan. Aktiviti pemanasan badan sangat penting untuk mengelakkan anda daripada mengalami kekejangan otot. Apabila kekejangan otot terjadi, anda akan mudah untuk tenggelam dan lemas walaupun anda pandai berenang.

Selain itu, jika anda berada terlalu lama di dalam air, tambahan lagi di dalam air yang dingin, kemungkinan untuk mengalami kekejangan otot adalah tinggi! Jadi, pastikan anda berehat seketika sebelum masuk semula ke dalam air.

Sebenarnya, bukanlah mudah untuk belajar berenang ni. Perlu ada latihan yang berterusan bagi membolehkan seseorang itu pandai berenang. Cuma pada peringkat permulaan, anda boleh cuba untuk bina water confident terlebih dahulu… Jika anda sudah ada water confident yang tinggi, Cik Min yakin, anda pasti tidak takut untuk berenang lagi. Setakat ini sahaja perkongsian Cik Min kali ini. Selamat mencuba!

Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Lebih banyak artikel menarik diĀ Cerita Malaysia.

One Reply to “Water Confident | Selamatkan Diri Daripada Lemas?”

  1. Min ni cute lah.. says:

    Min penah lemas ke min? Ade owang selamatkan tak min? Cer spill min.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *