Sikap Disiplin Warga Jepun

30/11/2022 by No Comments

Sikap disiplin warga Jepun dapat dilihat melalui sikap yang ditunjukkan oleh pemain bola sepak mereka baru-baru ini. Umum mengetahui bahawa, Skuad Samurai Blue kendalian Hajime Moriyasu mencipta kejutan pada perlawanan pembukaan Piala Dunia mereka apabila menang tipis 2-1 ke atas skuad Jerman.

Cik Min ingin mengimbas kembali perlawanan mereka bersama Jerman. Dalam perlawanan tersebut pada awal minit ke-32 Jerman telah mendahului dengan jaringan Gundogan menerusi sepakan penalti yang diambil oleh pemain tengah pasukan itu.

Walau bagaimanapun, kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila Jepun kembali menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-74 oleh Ritsu Doan. Seterusnya, hanya beberapa minit sebelum wisel penamat dibunyikan, pada minit ke-82 sekali lagi skuad kendalian Hajime menggegarkan gol pasukan lawan dengan satu jaringan oleh Asano yang sekali gus meletakkan Jepun di hadapan.

Keputusan 2-1 tersebut kekal sehingga ke wisel penamat, serta telah membuka mata peminat bola sepak dunia tentang ‘kuasa’ Asia yang boleh mengalahkan pasukan gergasi Eropah tersebut.

Sikap Disiplin Warga Jepun | Pemain Meninggalkan Bilik Persalinan dalam Keadaan Bersih

Cik Min yakin mungkin ramai yang sudah mengetahui tentang sikap orang Jepun yang begitu berdisiplin, menjaga kebersihan dan seumpamanya.

Selain sikap penyokongnya yang bertindak mengutip sampah di stadium secara sukarela, namun dalam masa yang sama pemain-pemain dari pasukan tersebut turut menampilkan tingkah laku yang sama.

Kita dapat lihat melalui perkongsian yang dibuat di laman twitter @sportbible, yang memaparkan bilik persalinan pemain Jepun tersebut yang ditinggalkan dalam keadaan bersih dan kemas.

Jelas kelihatan seperti gambar di atas, baju-baju jersi dan set persalinan lain dilipat dengan kemas dan disusun di ruangan tengah bilik persalinan.

Di samping itu, pasukan tersebut turut meninggalkan nota dan meletakkan beberapa origami burung di atas meja. Di dalam nota tersebut terdapat perkataan ‘Shukran‘ yang ditulis dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘terima kasih’.

Tindakan yang ditunjukkan oleh pemain Jepun telah mendapat perhatian warganet dengan memuji sikap yang dipamerkan oleh pemain atau penyokongnya.

Jelaslah bahawa, sikap disiplin warga Jepun bukan sahaja pada pemain malah para penyokong juga turut mempunyai sikap yang sama. Pada pandangan Cik Min, sikap warga Jepun yang berdisiplin dan mementingkan kebersihan ini merupakan contoh yang baik dan wajar diikuti!

Baiklah, setakat ini dahulu perkongsian Cik Min pada kali ini tentang “Sikap Disiplin Warga Jepun”. Jom dapatkan lebih banyak artikel menarik di laman portal Cerita Malaysia.


Penafian

Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Trend, Travel dan Filem.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *