Sambutan Hari Gawai Dayak

05/06/2023 by No Comments

Sambutan hari Gawai Dayak adalah perayaan tahunan dan cuti umum yang disambut oleh orang Dayak, termasuklah kaum Iban, Sarawak. Gawai yang bermaksud pengerami atau pesta, adalah perayaan kesyukuran bagi masyarakat Dayak di Borneo.

Ia disambut bagi meraikan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baharu. Pada entri kali ini, jom Cik Min ceritakan tentang perayaan ini!

Sejarah Sambutan Hari Gawai Dayak

Sambutan Hari Gawai Dayak
photo credit: Flickr

Hari Gawai dikenali sebagai “Ari Gawai” dalam bahasa Iban, dan “Andu Gawai” dalam bahasa Bidayuh. Idea bagi sambutan perayaan itu bermula pada tahun 1957, apabila ia dibincangkan dalam forum radio.

Bagaimanapun, kerajaan Rajah Brooke enggan mengiktiraf hari istimewa untuk meraikan orang Dayak. Sebaliknya, mereka melantik 1 Jun sebagai Hari Sarawak, hari untuk meraikan semua etnik di negeri itu.

Selepas pembentukan Malaysia, 1 Jun diwartakan secara rasminya sebagai hari kelepasan am menggantikan Hari Sarawak pada 25 Sept 1964.

Kini, Hari Sarawak adalah hari kemerdekaan rasmi yang disambut pada 22 Julai setiap tahun oleh negeri Sarawak. Ia diadakan bagi meraikan penubuhan pemerintahan sendiri dan kemerdekaan pada 22 Julai 1963.

Pengarap Asal Sambutan Hari Gawai Dayak

Sambutan Hari Gawai Dayak
photo credit: Flickr

Selain Gawai Dayak, terdapat juga pelbagai jenis Gawai lain yang menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Dayak. Antaranya adalah Gawai Kenyalang, Gawai Batu, Gawai Antu, Gawai Bersimpan dan Gawai Padi.

Gawai-gawai ini akan dimulakan dengan adat miring. Adat ini adalah sebagai tanda terima kasih kepada tuhan iaitu Petara, dewa dewi dan roh nenek moyang yang dikenali sebagai “Petara Aki Ini.”

Kepercayaan tradisional orang Iban pula dikenali sebagai Pengarap Lama atau Pengarap Asal. Kepercayaan masyarawak Iban ini berpandukan kepada ‘Papan Turai’ yang telah ditulis oleh Tuai Raban Bansa, berpandukan nasihat Manang dan juga Lemambang.

Masyarakat Iban percaya kepada Binsi Petara, dan tujuh dewa dewi utama iaitu:

  • 1. Sengalang Burong (Dewa Perang)
  • 2. Biku Imam Bunsi Petara (Dewa Agama)
  • 3. Menjaya (Dewa Perubatan)
  • 4. Selempandai (Dewa pembuatan)
  • 5. Sempulang Gana/Semerugah (Dewa Pertanian Dan Tanah)
  • 6. Ini Inee/Andan (Dewa Penyembuh Semulajadi & Dewa Keadilan)
  • 7. Anda Mara/Gangga Gangging (Dewa Kekayaan)

Inilah sebabnya mengapa masyarakat Dayak akan memulakan sampi atau doa dengan mengira dari satu hingga tujuh.

Kebiasaannya, upacara miring ini akan diadakan sebelum berlangsungnya sesebuah Gawai. Tujuan persembahan ini adalah untuk meminta para dewa untuk memberkati mereka dengan kekayaan, kesihatan, kebahagiaan, dan kejayaan.

Sebagai sebuah masyarakat madani, adalah penting bagi kita untuk mempelajari kepercayaan, budaya dan adat resam masyarakat-masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia ini tau! Cik Min berharap, perkongsian kali ini dapat memberi pengetahuan baharu buat pembaca semua.

Setakat ini dahulu perkongsian Cik Min tentang “ Sambutan Hari Gawai Dayak”. Untuk mendapatkan lebih banyak artikel menarik, anda boleh layari laman portal Cerita Malaysia.


Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Trend, Travel dan Filem.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *