Pokok Paku Aji Laut Terancam

10/12/2021 by No Comments

Anda semua pernah dengar tak tentang pokok paku aji laut? Rasanya ini kali pertama Cik Min dengar tentang pokok paku aji laut yang terancam ini. Nama saintifik bagi pokok paku aji laut ini ialah Cycas Clivicola dan ia merupakan sejenis tumbuhan liar spesies paku pakis. Pokok paku aji ini juga mempunyai nilai komersil yang tinggi sebagai tanaman hiasan kerana bentuknya yang sangat cantik. Ia juga dapat menghiasai laman rumah walaupun tidak berbunga. Namun, tahukah anda bahawa pokok ini telah tersenarai sebagai salah satu tumbuhan terancam dalam Senarai Merah Malaysia?

Mari ikuti perkongsian lanjut tentang pokok paku aji laut yang terancam ini di bawah.

Pokok Paku Aji Laut Terancam

Kenali Pokok Paku Aji Laut

Pokok paku aji laut merupakan salah satu spesies tumbuhan eksotik purba yang terdapat di negara Malaysia. Selain itu, pokok paku aji laut ini mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri, iaitu pokok tinggi yang mempunyai panjang lebih kurang 2 kaki. Pokok ini juga boleh berusia lebih 10 tahun dan mempunyai bentuk seperti ayam.

Tambahan lagi, bentuk batang pokoknya yang unik serta daun seakan palma menjadikan pokok paku aji laut paling popular, dan menjadi buruan peminat pokok hiasan dan eksotik. Pokok ini hanya terdapat di kawasan tinggi bercuram dengan tanah batu kapur menyebabkan harganya mencecah ratusan atau ribuan ringgit untuk spesimen setinggi 3-5 kaki. Kadar pertumbuhan pokok ini agak perlahan, hanya 1-3 inci ketinggian atau ukur lilit dalam setahun yang menyebabkan pokok paku aji laut bersaiz besar bernilai tinggi dan menjadi rebutan.

Pokok paku aji laut boleh dikatakan sebagai the living fosil, kerana ia adalah salah satu warisan dan khazanah negara yang perlu dilindungi dan dihargai berikutan spesiesnya yang sudah terancam.

Mengapa Pokok Ini Terancam?

Menerusi portal Kosmo, baru-baru ini dilaporkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab menceroboh masuk ke Pulau Tenggol, Dungun untuk mencuri pokok-pokok paku aji laut terancam yang tumbuh liar di kawasan tersebut. Pengarah Perhutanan Terengganu, Roslan Rani berkata:

“Pokok paku aji laut tumbuh secara semula jadi di kawasan berbatu di dalam hutan simpan di Pulau Tenggol.”

“Pemeriksaan baru-baru ini mendapati kebanyakan pokok spesies itu sudah tiada di habitatnya dan yang tinggal hanya pokok belum matang dan terletak di batuan curam.” 

Tambah beliau lagi, pokok paku aji laut tidak sepatutnya di­ambil sesuka hati kerana ia me­rupakan sebahagian kha­zanah dalam Hutan Simpan Pulau Tenggol yang perlu dipelihara.

Pokok Paku Aji Laut Lenyap Dikebas

Pengarah Perhutanan Terengganu itu juga turut berkata bahawa pihaknya percaya kehilangan pokok-pokok paku aji laut tersebut, didalangi pihak tertentu. Hal ini kerana, ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat pokok hiasan dan landskap.

Katanya lagi:

“Saya difahamkan pokok paku aji laut boleh dijual pada harga sekurang-kurangnya RM6,000 sepokok. Oleh sebab itu, saya percaya ada pihak yang gelap mata, dan sanggup langgar undang-undang dan merisiko nyawa memanjat kawasan berbatu di Pulau Tenggol untuk mencuri pokok tersebut.” 

Pokok Paku Aji Laut

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Jamilah Mohd Salim @ Halim berkata:

“Aktiviti mengutip tanpa kawalan dari habitat asal tumbuhan itu untuk dijadikan tanaman hiasan boleh mengganggu ekosistem pokok itu.”

“Pokok paku aji laut merupakan spesies pokok purba dan mempunyai biji benih yang tidak dilindungi dalam struktur buah.”

“Pembiakannya memerlukan induk betina dan jantan dengan biji benihnya disenyawakan menerusi sebaran angin.”

Jelaslah di sini, pokok paku aji laut terancam ini tersenarai dalam Senarai Merah Malaysia. Ianya perlu dipelihara agar spesies tumbuhan ini kekal terjaga sebagai khazanah berharga.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.

Trend, Travel dan Filem

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *