Pemakaian Batik pada Hari Khamis untuk Penjawat Awam

06/12/2021 by No Comments

Baru-baru ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling perkhidmatan berhubung dasar baharu pemakaian batik pada hari Khamis untuk penjawat awam di Malaysia. Hal ini susulan pengisytiharan yang dibuat oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, untuk menjadikan tarikh 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia, yang akan disambut pada setiap tahun.

Jadi, melalui entri kali ini Cik Min akan berkongsi dengan anda semua tentang pemakaian batik pada hari Khamis untuk penjawat awam. Informasi bermanfaat ini Cik Min dapatkan daripada portal Edu Bestari. Mari ikuti perkongsian di bawah tentang maklumat 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia.

Pemakaian Batik pada Hari Khamis

3 Disember, Hari Batik Malaysia

Mesti ada yang tertanya-tanya mengapa tarikh 3 Disember dipilih sebagai Hari Batik Malaysia, bukan? Pemilihan tarikh tersebut adalah sebagai tanda penghargaan atas segala sokongan dan usaha yang telah disumbangkan oleh Allahyarhamah Tun Endon Mahmood. Allahyarhamah merupakan isteri kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada tarikh 3 Disember 2003, Allahyarhamah Tun Endon Mahmood memulakan sebuah Gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World. Hal ini bertujuan untuk membawa batik tempatan ke persada antarabangsa.

Dalam satu pengumuman di saluran televisyen, Perdana Menteri menyatakan harapan kerajaan pada Hari Batik Malaysia tersebut:

“Seluruh rakyat Malaysia termasuk pihak swasta dan masyarakat digalakkan untuk memakai pakaian batik Malaysia. Usaha ini bertepatan dengan konsep keluarga Malaysia, di mana semua rakyat Malaysia berbilang kaum, bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan melalui pemakaian batik tempatan.

Saya percaya pengisytiharan Hari Batik Malaysia akan dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan rangkaian pengeluaran industri batik negara.”

– Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob

Pemakaian Batik pada Hari Khamis untuk Penjawat Awam

Kerajaan menggalakkan pemakaian batik pada Hari Khamis untuk penjawat awam terutamanya pegawai perkhidmatan awam persekutuan sebagai pakaian bekerja termasuk bagi:

  • Menghadiri majlis rasmi dalam atau luar negara
  • Persidangan antarabangsa
  • Perjumpaan pelawat asing

Menurut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 yang telah diedarkan, yang ditandatangi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, ketetapan pemakaian batik Malaysia tersebut tidak terpakai kepada:

  • Pegawai yang dibekalkan dengan pakaian seragam;
  • Menghadiri majlis rasmi yang telah ditetapkan kod pakaian tertentu.

Dasar Baharu itu juga tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, pemakaian Peruntukan Surat Pekeliling Perkhidmatan tersebut dipanjangkan kepada:

  • Semua perkhidmatan Negeri
  • Pihak Berkuasa Berkanun
  • Pihak Berkuasa Tempatan
Pemakaian Batik pada Hari Khamis
Gambar sekadar ilustrasi

Sememangnya, usaha untuk menjadikan tarikh 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia patut diambil baik oleh semua golongan masyarakat. Sekiranya kita tidak memakai batik tempatan kita, siapa lagi yang akan memakainya? Jadi, pemakaian batik untuk penjawat awam dan masyarakat patut diamalkan bersama.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.

Trend, Travel dan Filem

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *