Laluan Balik Pantai Timur untuk Elakkan Kesesakan

April 26, 2022 by No Comments

Guano gamok? Apa khabar warga pantai timur? Dah bersiap-sedia ke untuk pulang berhari raya nanti? Jom Cik Min kongsikan beberapa laluan balik pantai timur yang boleh dijadikan sebagai alternatif! Kalau nak tah, ada empat laluan alternatif untuk balik ke pantai timur tau… Ini antaranya:

Jalan Persekutuaun 8 (FT8) | Laluan Balik Pantai Timur

1. Dari Bentong ke Kota Bharu, Kelantan Melalui Felda Mempaga, Pahang

Sumber: Malaysia Tercinta

Laluan ini bertujuan untuk mengelak kesesakan di bandar Bentong.

  1. Selepas melalui Plaza Tol Bentong (dari KL – Bentong), terus ke Laluan Persekutuan 1498, dan melalui Kampung Chinta Manis serta Felda Mempaga Jaya.
  2. Masuk ke persimpangan kanan ke Laluan Persekutuan 1496. Kemudian, masuk ke persimpangan Kampung Sungai Ruan, Laluan C149 di sebelah kiri.
  3. Selepas itu, anda perlu masuk semula ke Laluan Persekutuan 8 untuk menuju ke Kota Bharu.

2. Dari Bentong ke Kota Bharu, Kelantan Melalui Raub, Pahang

Laluan Balik Pantai Timur
Sumber: Malaysia Tercinta

Jika anda ingin mengelak kesesakan di Raub, anda boleh mencuba laluan alternatif ini.

  1. Dari Bentong melalui Laluan Persekutuan 8, keluar ke kiri dan masuk ke Laluan C5 (Jalan Cheroh ke Batu Malim). Kemudian, masuk ke persimpangan Jalan Cheroh Ke Gesing melalui Laluan C158 di Seksyen 15.
  2. Dari persimpang Cheroh tadi, masuk semula ke Laluan Persekutuan menghala ke Kota Bharu.

Selain itu, anda juga boleh mencuba laluan alternatif ini.

  1. Dari Bentong melalui Laluan Persekutuan 8, keluar ke kanan dan lalu di hadapan Bangunan Majlis Daerah Raub.
  2. Kemudian, susur ke kiri untuk melalui Jalan Bukit Koman sehingga ke bulatan kecil di hadapan Hospital Raub.
  3. Dari bulatan kecil tersebut, masuk ke kanan dan terus ke Jalan Taman Amalina Lestari, kemudian terus ke Laluan Persekutuan 8 menuju ke Kota Bharu.

3. Dari Gua Musang ke Kota Bharu Melalui Kuala Krai, Kelantan

Laluan Balik Pantai Timur
Sumber: Malaysia Tercinta

Laluan alternatif ketiga ini adalah untuk mengelak kesesakan di bandar Kuala Krai.

  1. Dari Gua Musang melalui Laluan Persekutuan FT8, keluar ke kanan melalui Laluan D225 di Kampung Sungai Peria.
  2. Dari simpang tiga Sungai Pahi, susur ke kiri menghala ke Guchil. Kemudian, masuk semula ke Laluan Persekutuan FT8 menuju ke Kota Bharu.

Jalan Persekutuan 3 (FT3)

1. Dari Chukai ke Kuala Terengganu Melalui Kg. Ibok, Terengganu

Laluan Balik Pantai Timur
Sumber: Malaysia Tercinta

Laluan balik pantai timur ini bertujuan untuk mengelak kesesakan di bandar Chukai.

  1. Dari Kuantan melalui Laluan Persekutuan 3, keluar ke kanan melalui Laluan T126 ke Chukai. Apabila tiba di persimpangan lampu isyarat, susur ke kanan, iaitu ke Laluan Persekutuan 237.
  2. Di persimpangan lampu isyarat kedua, susur ke kiri ke Laluan T131 menghala ke Zoo Mini.
  3. Masuk ke Laluan T13 di Kampung Ibok dan terus ke Laluan T6 di Kampung Bukit Anak Dara. Apabila tiba di persimpangan empat, susur ke kiri ke Laluan Persekutuan 145 menuju ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Namun, langkah yang paling mudah untuk anda kenal pasti laluan paling cepat untuk tiba ke destinasi ialah… semestinya, Google Map. Tapi, Cik Min berharap sedikit sebanyak perkongsian tentang laluan balik pantai timur ini dapat membantu anda untuk merancang perjalanan pulang ke kampung nanti.

Setakat ini sahaja perkongsian daripada Cik Min. Cik Min berharap informasi ini bermanfaat bagi anda. Selamat pulang ke kampung dan berhati-hati di jalan raya!

Sumber: Malaysia Tercinta

•••

Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Lebih banyak artikel menarik di Cerita Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published.