Kisah Selepas Pengumuman Kabinet Kerajaan
Perkongsian ini adalah siaran tulisan Tuan Faixal Ibni Maxenah yang ditulis sehari sebagai kisah selepas pengumuman kabinet kerajaan oleh Perdana Menteri Malaysia ke10 Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sekadar sebuah kisah selepas 25 orang kabinet menteri Malaysia diumumkan.
Kisah Selepas Pilihanraya
Boleh sudah untuk kita teruskan hidup seperti biasa.
Ada yang kata, dah boleh teka siapa saya yang saya undi PRU15 yang lalu, hanya kerana sindiran yang saya lemparkan semalam. Sindiran itu untuk mengatakan bahawa antara kita sesama pengundi ini tak usahlah keras dan panas sesama kita. Sekali lagi ‘saya ulaaaaang’… hak kita hanya sepangkah undi.
Siapa jua yang memenangi kerusi kawasan tempat kita itu, menjadi hak beliau untuk lakukan apa sahaja gerakan politik.
Dan semalam, anda sepatutnya telah mempelajari sesuatu, siapa pun yang anda harapkan, ia tetap hak mutlak Perdana Menteri untuk memilih siapa yang membarisi pasukan menteri beliau. Walaupun secara perlembagaan, perlantikan kabinet juga adalah oleh YDPA, namun secara ‘amalan biasa’ atas penasihatan PM, barisan kabinet yang dipersembahkan akan dipersetujui oleh YDPA.
Saya (hari ni bahasa sopan sikit, guna saya), hanya ingin mengajak saudara dan saudari untuk terus kekal neutral dan non-partisan sebagai pengundi. Bagi mereka, si pejuang² parti, terus bekerja memperjuangkan isu, kebajikan dan hak rakyat, bukan sibuk dengan ‘political move’ demi survival parti. Sampai apabila ditanya mereka antara parti dan rakyat mana lebih utama, parti tetap bertakhta di hati.
Saudara dan saudari para pengundi sekalian, setiap yang para politikus ini lakukan, semuanya berasaskan kelangsungan parti yang utama. Anda dan kebajikan anda adalah perkara yang kedua dalam percaturan mereka.
Sebagai contoh, BN lebih memilih bersama PH, demi untuk tidak berkongsi pool voters yang sama dengan PPBM. PN pula lebih rela membangkang jika tidak dapat jawatan PM. DAP sanggup meminta maaf demi untuk bersama semeja dengan UMNO. Sungguh besar jiwa mereka bukan.
Apalah kita nak hairan, alangkan dituduh meliwat oleh bekas bos sendiri pun, boleh berakhir dengan bermaafan dan menganggap ia luka kecil. Walhal, rakyat berasak membela sampai disembur meriam air dan ditembak bom asap pemedih mata.
Saudara, saudari boleh lihat sendiri, betapa liciknya mereka meniup sentimen dan amarah dan tiba² mereka menukar wajah dan arah. Yang marah tiba² menjadi ramah. Tinggal kita sahaja terpinga-pinga, yang biru jadi merah.
Tapi kenapa sebelum PRU saling caci mencaci? Itu semua taktik sebelum PRU. Cuba untuk menang sendirian, jika gagal, cuba pula untuk bergabung. Mereka persetankan sahaja semua taktik sebelum PRU itu. Taktik sebelum dan selepas tak pernah sama.
Apa jadi dengan cacian sebelum itu? Inilah yang saya cuba perjuangkan, memadam api kebencian di kalangan pengundi yang dimarakkan oleh politikus setiap kali pilihanraya.
Ketahuilah, bukanlah hina memperjuangkan parti. Yang hinanya, anda menabur sentimen kebencian seolah² parti lawan itu memang turun dari neraka dan anda pula lantikan tuhan yang lahir atas tilam syurga. Anda timbulkan resah sampai bercakar jiran sebelah menyebelah, bergaduh saudara sedarah sedaging, apatah lagi warganegara yang hanya berbeza warna kulit mereka.
Fahami semula tujuan penubuhan parti, tidak lebih atau kurang seperti NGO juga, demi kebajikan rakyat. Hanya beza anda dengan NGO, anda akan menghantar calon untuk pilihan raya apabila tiba masanya. Manakala NGO terus bekerja dan mendesak siapa jua yang memenangi pilihanraya itu nanti.
Mungkin mustahil namun saya akan tetap berusaha untuk terus menjadi bomba memadam api amarah politik di kalangan rakyat.
Faixal R.
Pembaca & Pengundi Santai
Pelajar Sains Pertanian, Sains Komputer, Sains Politik
Pengamal Sains Rumah Tangga
Pengusaha Teknologi Pes Masakan
Harapan dengan Kisah Selepas Pengumuman Kabinet Kerajaan
Min pasti harapan seluruh rakyat Malaysia selepas kisah pengumuman kabinet kerajaan perpaduan juga adalah sama iaitu negara Malaysia yang berjaya mengharungi cabaran ekonomi yang dijangkakan pada tahun 2023. Artikel yang mengandungi senarai penuh kabinet kerajaan perpaduan di sini.
Nak dapatkan lebih banyak artikel menarik? Jom layari laman portal Cerita Malaysia.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Cerita tentang Malaysia kita!