Jalan TAR Kembali Sesak!

26/04/2022 by No Comments

Setelah dua tahun kita tidak dapat beraya, akhirnya, pada tahun ini, ramai yang “melepaskan geram” dengan membeli-belah barang-barang untuk sambutan hari raya yang bakal tiba ini! Apabila tiba sahaja musim perayaan, pasti ramai yang tahu, terutamanya warga Kuala Lumpur, bahawa pusat membeli belah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Jalan TAR pasti akan sesak dibanjiri orang ramai. Kawasan Jalan TAR ini sememangnya terkenal sebagai tempat membeli-belah untuk persiapan hari raya tau… Ditambah pula selepas dua tahun tidak dapat beraya, pada tahun ini, Jalan TAR kembali sesak!

Cik Min ada berjalan-jalan di sekitar Jalan TAR pada hujung minggu yang lalu. Suasananya sungguh meriah dan sudah pasti dipenuhi dengan orang ramai! Sekiranya anda bercadang untuk membeli-belah di sekitar kawasan ini, diingatkan agar untuk bersabar, kerana kereta anda mungkin terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Bayangkan, nak naik tangga eskalator pun kena beratur lama!

Angkara KWSP juga, mungkin ramai mempunyai wang lebih untuk membeli-belah pada tahun ini. Hehe… Memang shopping sakan betul! Baru-baru ini juga, rakan Cik Min ada maklumkan bahawa Jalan TAR yang kembali sesak ini mengambil masa lebih kurang beberapa minit untuk melangkah dari satu tapak ke tapak yang lain! Hebat betul penangan raya kali ini.

Tambahan pula, tahun ini merupakan tahun pertama kita diberikan kebebasan, setelah dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, Jalan TAR ini juga dipenuhi dengan orang ramai dari pelbagai negeri lain. Jom lihat video yang Cik Min dapatkan dari Facebook ini.

Bukan Jalan TAR sahaja yang kembali sesak, beberapa jalan utama menuju pusat membeli-belah di sekitar bandar raya Kuala Lumpur juga mengalami kesesakan seperti, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Raja Laut, Jalan Bunus, dan Jalan Dang Wangi. Namun, jangan risau! Terdapat beberapa pegawai dan anggota penguatkuasa membabitkan Jabatan Siasaran dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan bertugas bagi mengawal keselamatan di kawasan tersebut.

Walaupun ramai berasa teruja untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada kali ini, diingatkan agar sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga keselamatan serta kebersihan diri, kerana COVID-19 masih ada ya… Apa-apa pun, jangan terlalu boros semasa membeli-belah nanti. Selamat membeli-belah dan selamat hari raya!

•••

Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Lebih banyak artikel menarik di Cerita Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *