Gudang Potong Kereta Terbakar, Berdekatan Lebuh Raya DUKE
Sebuah gudang potong kereta atau ‘halfcut’, Suzuka Autopart terbakar dengan kepulan asap yang tebal berdekatan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE).
Gudang tersebut terletak di Jalan Kuching, bersebelahan susur keluar Lebuh Raya DUKE menuju ke Segambut Dalam dan Bandar Manjalara.
Asap kebakaran jelas kelihatan oleh pengguna lebuh raya yang datang melalui Plaza Tol Jalan Duta dari arah utara.
Berikutan itu, tular beberapa rakaman video yang dikongsi oleh pengguna lebuh raya tersebut di media sosial. Lihat di sini.
Anda juga boleh saksikan video kejadian tersebut yang dilaporkan oleh salah satu media tempatan di bawah.
Kejadian tersebut menyebabkan hampir 90% gudang itu hangus dan puluhan kereta potong dan aksesori kenderaan terpakai musnah.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, pihak mereka menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 6:30 petang, pada hari yang sama (23 November 2021).
Seramai 83 pegawai dan anggota daripada lapan balai telah bergerak ke tempat kejadian untuk kerja-kerja memadam kebakaran.
Pasukan operasi yang terlibat dengan kerja-kerja memadam kebakaran terdiri daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Sentul dan BBP Sri Hartamas.
Turut terlibat, BBP Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Taman Tun Dr Ismail, BBP Wangsa Maju, BBP Seputeh bersama empat jentera FRT, ambulans, jentera LFRT dan empat water tanker.
Punca Gudang Potong Kereta Terbakar
Punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti dan tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kebakaran tersebut.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 5:40 petang itu menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan apabila pengguna lebuh raya berhenti untuk melihat kebakaran dengan lebih jelas.
Kelihatan juga, ada yang merakam kebakaran tersebut untuk dikongsikan di media sosial masing-masing.
Cik Min mendoakan yang terbaik untuk pemilik gudang potong kereta yang terbakar tersebut dalam menangani isu itu.
Untuk anda, iaitu pengguna jalan raya, Cik Min ingin menasihati anda supaya tidak mendekati lokasi kebakaran dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat kebakaran berlaku.
Dengan tindakan anda yang pantas itu, anda mungkin boleh menyelamatkan harta benda dan nyawa mangsa yang terlibat.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.
Trend, Travel dan Filem