Gudang Kopi Aik Cheong Terbakar 90%
Pernahkah anda terdengar tentang jenama Aik Cheong? Cik Min pasti, anda semua mesti kenal dengan jenama kopi tempatan ini kan? Mana tidaknya, sudah 68 tahun jenama ini bertapak di Malaysia, tanah air tercinta kita ini. Anda tahu tak bahawa gudang kopi Aik Cheong ini terletak di Kawasan Perindustrian Cheng, Melaka? Sudahlah berjenama tempatan, gudangnya pula di terletak di negeri bersejarah. Memang wow la pada Cik Min…
Namun baru-baru ini, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan sebuah berita di mana gudang kopi Aik Cheong ini telah terbakar. Katanya, kebakaran tersebut turut memamah hampir keseluruhan kilang. Ish, biar betul ni? Tanpa membuang masa, mari Cik Min kongsikan maklumatnya dengan lebih lanjut. Let’s go!
Kebakaran di Gudang Kopi Aik Cheong Kawasan Perindustrian Cheng, Melaka
Saiz bangunan gudang kopi Aik Cheong ini mempunyai keluasan sebesar 7,200 meter persegi. Menurut sumber, pada lewat malam 26 November 2023 yang lalu, gudang ini telah pun terbakar hampir 90%.
Sewaktu kejadian, sebanyak 2 Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah dikejarkan ke lokasi kebakaran. Seramai 23 pegawai dan anggota, bersama-sama 4 jentera juga turut terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran. Namun begitu, setibanya kesemua pasukan penyelamat di gudang tersebut, mereka mendapati bahawa 90% daripada gudang sudah pun hangus dijilat api.
Penguasa Bomba, Tc. Zulkhairani Ramli (Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka) berkata, mereka menerima panggilan kecemasan tersebut menerusi talian MERS 999 pada jam 9.59 malam. Menurut beliau lagi, pasukan penyelamat sudah berusaha sebaik mungkin untuk meredakan kebakaran sehingga selesai, pada jam 11.05 malam.
Pegawai terlibat juga mengesahkan bahawa tiada mangsa atau kecederaan telah berlaku melalui insiden kebakaran tersebut. Syukur, Alhamdulillah… Walau bagaimanapun, punca bagi kebakaran ini masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa.
Selain itu, jumlah kerugian yang dialami oleh Aik Cheong Beverage Industries Sdn. Bhd. juga masih belum diketahui sehingga kini. Cik Min doakan, semoga pihak dan kakitangan yang terlibat kekal tabah dalam menghadapi dugaan tersebut.
Di sini juga ingin Cik Min kongsikan sebuah video semasa kejadian berlaku untuk tontonan anda semua. Sama-sama kita mengambil iktibar dan sentiasa berjaga-jaga pada masa akan datang.