Banjir Terburuk Melanda Seoul, Korea
Mutakhir ini kita telah digemparkan dengan kisah banjir terburuk yang sedang melanda Seoul, Korea. Hujan yang berterusan selama 12 jam telah menyebabkan kenaikan paras air di Seoul meningkat secara drastik, sehingga mengakibatkan berlakunya banjir besar.
Situasi ini bukan sahaja membimbangkan penduduk Seoul, malahan turut membimbangkan seluruh dunia. Jom sama-sama kita ketahui situasi terkini tentang banjir terburuk yang sedang melanda Seoul, Korea, bersama Cik Min.
Apakah punca berlakunya banjir besar di Seoul?
Faktor utama berlakunya banjir terburuk yang sedang melanda Seoul ini ialah hujan secara berterusan dalam kuantiti yang banyak. Untuk pengetahuan anda, bahagian selatan Seoul telah menerima lebih 100mm hujan/jam pada 8 Ogos, Isnin lalu.
Terdapat beberapa bahagian bandar itu juga telah menerima sebanyak 141.5mm hujan yang boleh diklasifikasikan sebagai hujan terburuk sepanjang 80 tahun, menurut media tempatan Korea Selatan yang memetik kenyataan Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).
Selain faktor hujan, muncul juga satu dakwaan bahawa Korea Utara telah melepaskan air dari sebuah empangan berdekatan perbatasan antara Korea Selatan dan Korea Utara, tanpa sebarang pemberitahuan. Hal ini telah menyebabkan paras air melonjak tinggi sehingga hari ini.
Mengapakah Korea Utara melepaskan air empangan mereka?
Dipetik dari laman web Yonhap, ia menyatakan bahawa hujan yang turun secara berterusan juga telah menyebabkan Korea Utara berulang kali membuka dan menutup pintu air empangan Hwanggang tersebut. Hal ini dilakukan agar empangan tersebut tidak pecah akibat daripada tekanan air yang banyak.
Walaupun ia wajar dilakukan, namun sikap tidak memberitahu terlebih dahulu itu telah mengakibatkan Seoul, Korea berada dalam keadaan banjir yang sukar untuk dikawal.
Adakah perubahan iklim merupakan salah satu punca berlakunya banjir terburuk yang sedang melanda Seoul ini?
Menurut Laporan tambahan oleh Jake Kwon dari CNN, Chad Myers, Monica Garrett dan Reuters, terdapat beberapa negara di Asia Timur yang kini turut mengalami hujan harian lebih banyak daripada biasa, disebabkan monsun musim panas yang kian kencang.
Hal-hal ini semakin sukar untuk diramal apabila bumi mengalami pemanasan global tanpa sebarang pembendungan. Oleh itu, ia telah menyumbang kesan banjir yang terburuk kepada Seoul, Korea Selatan dalam beberapa tahun ini.
Antara Impak Banjir Besar Terhadap Seoul, Korea | Banjir Terburuk Melanda Seoul
Terdapat beberapa stesen kereta api bawah tanah dan jalan-jalan utama di Seoul telah dilaporkan tenggelam akibat banjir selepas hujan lebat melanda kawasan itu.
Bukan itu sahaja, kita juga dapat melihat sebuah kenderaan rosak akibat banjir, yang dijumpai di tengah jalan setelah hujan lebat di distrik Gangnam, Seoul pada Selasa (9/8/2022) yang lalu.
Dalam keadaan tersebut, beberapa bangunan juga telah terputus bekalan elektrik dan telah ditenggelami air, sama seperti kereta dan bas yang berada di jalanan. Hal ini telah menyebabkan kebanyakan warga setempat terkandas, terutamanya di daerah Gangnam.
Berapakah Angka Korban Terkini Melalui Banjir Terburuk yang Melanda Seoul Ini?
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Tindakan Bencana dan Keselamatan Pusat Seoul, sekurang-kurangnya lima orang telah maut di Seoul dan dua yang lain di wilayah jiran Gyeonggi, setakat 9 Ogos pada jam 6 pagi.
Untuk menambah kenyataan itu, empat orang lagi turut disahkan maut selepas terperangkap dalam bangunan yang dibanjiri air. Seorang daripada mereka terkena renjatan elektrik, seorang ditemui di bawah serpihan perhentian bas dan seorang lagi maut di dalam tanah runtuh.
Bukan itu sahaja, terdapat kira-kira sembilan orang di kawasan itu juga cedera, manakala enam lagi masih hilang dan belum ditemui.
Apakah tindakan pihak kerajaan Korea Selatan dalam menangani masalah ini?
Menurut laman web Kosmo, Presiden Yoon Suk-yeol telah mengarahkan para pegawai kerajaan untuk memindahkan penduduk yang berada di kawasan berisiko tinggi, dan menggalakkan para peniaga serta pekerja untuk mengamalkan konsep waktu ulang-alik yang fleksibel mulai 9 Ogos lalu.
“Tiada yang lebih penting berbanding nyawa dan keselamatan. Kerajaan akan menguruskan situasi hujan lebat ini dengan teliti,” kata Suk-yeol.
Cik Min Harap Agar Penduduk Seoul, Korea Sentiasa Kuat Menghadapi Dugaan!
Apa yang pasti, banjir besar sebegini sudah semestinya akan mendatangkan impak negatif terhadap masyarakat dan alam sekitar. Terutama sekali kemusnahan infrastruktur, serta peragutan nyawa yang sukar untuk dikawal. Cik Min harap agar dugaan ini dapat ditempuhi dengan baik oleh seluruh warga Seoul, Korea. Doa Cik Min bersama anda semua!
Setakat ini dahulu perkongsian Cik Min tentang “Banjir Terburuk Melanda Seoul” Untuk ketahui lebih banyak artikel menarik, anda boleh layari laman portal Cerita Malaysia.
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Trend, Travel dan Filem.