Tips Bersihkan Rumah Selepas Banjir
Baru-baru ini beberapa negeri di Malaysia iaitu Pahang dan Selangor mengalami banjir yang agak teruk. Banjir tersebut mengakibatkan banyak rumah yang didiami rosak dan kotor. Cik Min tahu pasca banjir ini merupakan satu keadaan yang sukar bagi penduduk untuk membersihkan rumah mereka. Jadi, Cik Min nak sarankan beberapa tips bersihkan rumah selepas banjir.
Hal ini bagi membantu memudahkan urusan anda untuk membersihkan rumah dengan lebih baik. Informasi yang berguna ini Cik Min dapatkan daripada portal Siakap Keli.
Elak Kerosakan Barang Pasca Banjir – Tips Bersihkan Rumah Selepas Banjir
Sekiranya rumah anda pernah dilanda banjir, Cik Min cadangkan anda untuk ikuti cara dan langkah di bawah untuk mengelakkan rumah anda daripada mengalami sebarang kerosakan.
1. Kenal Pasti Kerosakan
Perkara pertama selepas banjir berlaku, anda perlulah mengenal pasti sebarang kerosakan yang terdapat di dalam rumah anda. Semasa banjir, sudah pasti barang-barang seperti perabot, pakaian, peralatan rumah dan lain-lain mengalami kerosakan. Sebelum anda membuat pembersihan dan membaiki barang-barang yang rosak, pastikan anda menghubungi pihak insurans untuk membuat tuntunan barang-barang yang tidak boleh digunakan. Anda perlu mengambil gambar barang keperluan yang terjejas dan hantar kepada pihak insurans. Ini sebagai bukti supaya mereka boleh mengenal pasti dan membantu anda yang terjejas akibat banjir.
2. Keluarkan Sisa Air – Tips Bersihkan Rumah Selepas Banjir
Setelah air banjir surut, ia akan meninggalkan serpihan lopak-lopak air dan tanah di kawasan celahan dalam rumah. Gunakan kaedah pam air untuk membersihkan banjir daripada segala kekotoran atau air yang tersumbat. Selain itu, anda juga boleh menggunakan alat dehumidifier atau apa-apa alat yang boleh mengeringkan sisa-sisa air banjir yang terdapat di dalam rumah.
3. Sediakan Peralatan Pembersihan
Membuat pembersihan rumah selepas banjir memerlukan alat pembersihan. Hal ini adalah bagi memastikan rumah dapat dibersihkan tanpa meninggalkan sebarang kekotoran akibat daripada banjir teruk.
Antara peralatan keselamatan semasa membuat pembersihan selepas banjir adalah seperti berikut:
- Sarung tangan getah
- Kaca mata pelindung
- Topeng pelitup muka
- Pad lutut
- Pakaian lengan panjang
- Kasut boot
- Baldi
- Klorox
- Tuala
- Berus
- Dehumidifier
- Plastik sampah
- Tong sampah
- Pisau utiliti
- Tukul
- Pengikis lantai
- Penyapu
7 Tips Bersihkan Rumah Selepas Banjir
Senarai di bawah merupakan tips-tips yang boleh digunakan untuk membersihkan rumah selepas banjir.
1. Buang Lumpur dan Tanah daripada Sisa Banjir
Setelah air dipam keluar, pakai sarung tangan dan kumpulkan segala sampah atau kekotoran lalu dimasukkan ke dalam tong sampah. Gunakan sekop untuk membuang sisa banjir dan keluarkannya dari rumah.
2. Buang Barang yang Sudah Rosak – Tips Bersihkan Rumah Selepas Banjir
Banjir yang teruk membuatkan banyak perabot rosak dan reput. Ia akan menghasilkan banyak kulat dan lumut pada barang yang sudah ditenggelami air. Oleh itu, pastikan anda buang barang-barang yang sudah rosak seperti tilam, bantal, selimut, pakaian dan lain-lain ke dalam tong sampah. Jangan simpan barang-barang yang sudah rosak walaupun harganya mahal kerana ia akan ‘mengotorkan’ lagi keadaan dalam rumah.
3. Sediakan Tempat Kering untuk Barang yang Boleh Digunakan
Tidak semua barang di dalam rumah selepas keadaan banjir sudah rosak. Mungkin anda sudah meletakkan barang-barang tersebut di tempat tinggi. Pastikan barang yang masih baik dan elok untuk digunakan itu diasingkan dan diletakkan di tempat yang kering. Sebelum anda menggunakan barang atau alatan, lap barang tersebut menggunakan kain dan pembersih dengan teliti.
Selain itu, semua langsir perlu dicabut dan dibersihkan. Terpulang kepada anda sama ada mahu buang atau dibersihkan. Jika anda mahu bersihkan, pastikan basuh dengan air bersih dan guna pembasmi kuman seperti Clorox. Begitu juga dengan permaidani dan barang keperluan yang lain. Jika terdapat kotoran yang degil atau terkoyak disarankan untuk anda buang sahaja dan gantikan yang baru.
4. Cabut Lantai yang Rosak – Tips Bersihkan Rumah Selepas Banjir
Kebiasaannya karpet yang diserap air banjir sukar untuk dibersihkan. Air mudah diserap dengan cepat dan merosakkan lantai di bawah. Lantai kayu atau lantai lamina juga akan melengkung disebabkan air masuk dengan banyak. Oleh itu, cabut kesemua lapisan lantai dan terus buang.
5. Periksa Bahagian Dinding Jika Terdapat Sebarang Gelembung
Setelah banjir kembali surut, pastikan anda periksa seluruh dinding di rumah anda. Guna alat meter kelembapan untuk periksa kawasan dalam rumah anda. Jika ia berada di paras hijau, anda sudah boleh mengecatnya semula dan sebelum itu pastikan dinding dibersihkan terlebih dahulu dengan alkohol atau minyak.
6. Bersihkan daripada Semua Permukaan yang Kotor – Tips Bersihkan Rumah Selepas Banjir
Langkah yang paling penting perlu dibuat selepas banjir ialah membersihkan dalaman rumah menggunakan alat pembasmi kuman. Caranya sangat mudah. Anda perlu letakkan sedikit peluntur di dalam baldi dengan sedikit air dan mulakan pencucian bermula dari bahagian dinding hingga ke luar. Pastikan anda berus dan cuci di celah-celah kawasan yang disaluti lumpur.
Sekiranya masih terdapat lumpur atau kotoran di dinding, jangan biarkan sehingga kering. Ia mungkin akan mendatangkan bakteria sekali gus membahayakan kesihatan anda sekeluarga.
7. Pastikan Rumah Dapat Pengudaraan yang Baik
Sebelum anda membawa pulang barang-barang ke dalam rumah, pastikan bilik sudah dibersihkan. Selain itu, semasa membuat pembersihan, pastikan pintu dan tingkap dibuka untuk memberi udara keluar dan mudah untuk mengeringkan barang-barang di dalam rumah. Jangan biarkan pintu dan tingkap tertutup bimbang udara berkuap menjadikan rumah berbau dan tidak selesa untuk diduduki.
Cara Bersihkan Rumah yang Bertakung Air Banjir Berlumpur
Cik Min ada lihat di Twitter tentang tips bersihkan rumah selepas banjir berlumpur.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.
Trend, Travel dan Filem