Sambutan Deepavali di Malaysia
Sambutan Deepavali di Malaysia pada hari Khamis, 4 November yang lalu merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia.
Malaysia terkenal dengan masyarakat pelbagai kaum yang hidup aman dan harmoni. Hubungan antara orang Melayu, Cina dan India serta masyarakat berbilang kaum yang lain telah terjalin erat sejak sekian lama dan membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu.
Deepavali juga dikenali sebagai Diwali, Depavali, Devali, Dipodsavi dan Dipapratipad. Deepavali biasanya disambut pada penghujung Oktober dan awal November.
Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang majmuk, maka tidak salah jika kita memahami budaya dan perayaan masyarakat lain.
6 Perkara Yang Anda Mungkin Tidak Tahu Mengenai Sambutan Deepavali di Malaysia
Kali ini, Cik Min akan membawakan kepada anda 5 perkara menarik yang perlu anda ketahui tentang sambutan Deepavali di Malaysia.
1. Deepavali adalah lambang kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan
Sangat pelik sekiranya melihat Deepavali tanpa pelita kerana perayaan itu sendiri bermaksud Pesta Cahaya.
Mereka menyambut perayaan ini dengan memasang pelita adalah disebabkan oleh simbolik penganut Hindu yang melambangkan kejayaan kebaikan melawan kejahatan, berdasarkan legenda yang didedahkan kepada mereka tentang Raja Naylakasula dan Lord Krishnan.
Sedikit sebanyak, lampu yang dipasang juga menambahkan keindahan pada perayaan tersebut.
2. Kolam atau “Rangoli” merupakan tanda untuk mengalu-alukan tetamu ke rumah
Kebanyakan penganut Hindu menghiasi rumah mereka dengan “kolam” atau “rangoli”, iaitu lantai yang diperbuat daripada serbuk beras yang berwarna-warni. Kolam ini dibina di hadapan rumah sebagai tanda keselamatan dan keberkatan, agar setiap keluarga dapat kebahagiaan.
Seni membuat “kolam” ini biasanya diwarisi dari generasi ke generasi. Walaupun nampak sukar, masyarakat Hindu boleh menjadikannya cantik, unik dan menarik.
Hiasan “kolam” ini melambangkan penyembahan Lakshmi, dewa kekayaan, dan dipercayai bahawa dia hanya akan melawat rumah-rumah tersebut dengan hiasan “kolam” di depan pintu mereka.
3. Manisan yang sedap ketika sambutan Deepavali di Malaysia!
Dalam masyarakat India, manisan biasanya merupakan upacara perasmian sebelum bermulanya sesuatu majlis atau hari perayaan. Mereka percaya ia akan membawa kebahagiaan, kegembiraan dan nilai positif yang berkekalan.
Tidak ketinggalan juga kuih tradisional seperti maruku, adivasam dan payasam.
4. Penganut Hindu mandi dengan minyak bijan untuk menyucikan diri
Pada pagi perayaan Deepavali, seisi keluarga akan bangun lebih awal, iaitu sebelum matahari terbit.
Seluruh keluarga akan mandi dan menyucikan diri, kemudian bersalaman dan meminta maaf dengan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.
Orang Hindu melakukan ritual mandi minyak bijan untuk menyucikan badan dan semangat. Ia juga merupakan simbol penyucian diri.
5. Amalan kunjung-mengunjung juga diamalkan oleh masyarakat Hindu
Amalan menziarahi saudara terdekat masih diteruskan selama beberapa hari selepas Hari Deepavali, bagi mengeratkan lagi silaturahim mereka.
Sesetengah penganut Hindu akan mengadakan hari terbuka secara besar-besaran untuk menghiburkan saudara-mara dan rakan-rakan mereka yang bukan beragama Hindu.
Amalan memberi wang kepada kanak-kanak ketika sambutan Deepavali di Malaysia semakin popular. Wang ini biasanya diberikan kepada kanak-kanak oleh orang dewasa dalam sampul wang pelbagai bentuk dan warna. Semestinya amalan ini akan memeriahkan lagi suasana perayaan Deepavali.
Selamat Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu di Malaysia! Sedih rasanya nak sambut perayaan ketika pandemik ni, sebab tak semeriah tahun-tahun yang lepas. Yang penting, kita masih boleh beraya bersama orang tersayang dan saudara terdekat kan?
Walau bagaimanapun diharapkan agar semua yang merayakan Deepavali tetap mematuhi norma baharu, memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan fizikal bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Kalau kita dapat jaga diri kita tahun ini, tahun depan kita semua boleh sambut dengan lagi meriah!
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.
Trend, Travel dan Filem