Penerima Sinovac Bakal Hilang Status Vaksinasi Lengkap Tanpa Dos Penggalak
Penerima Sinovac bakal hilang status vaksinasi lengkap tanpa dos penggalak? Mengikut kefahaman Cik Min, perubahan status ini akan menyebabkan penerima vaksin Sinovac tidak dapat lagi mengakses kemudahan-kemudahan yang diterima seperti sebelum ini. Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, dos penggalak perlu didapatkan selewatnya pada bulan Februari 2022. Tambahan lagi, bagi individu yang berumur 60 tahun ke atas, tanpa mengira jenis vaksin juga perlu mendapatkan dos penggalak pada tempoh berkenaan.
Penerima Sinovac Bakal Hilang Status Vaksinasi Lengkap Tanpa Dos Penggalak
Setakat 20 Disember, 79.5 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia berjumlah 25.9 juta orang telah menerima vaksinasi lengkap COVID-19. Daripada bilangan tersebut, 37.1 peratus adalah penerima vaksin Sinovac.
Di bawah Pelan Pemulihan Negara, kerajaan telah memberikan beberapa kemudahan tertentu khusus untuk mereka yang berstatus penerima vaksin lengkap. Ini adalah termasuk untuk makan di dalam premis restoran, menyertai aktiviti keagamaan di rumah ibadah, serta beberapa kategori sukan yang dibenarkan. Bagaimanapun, disebabkan keberkesanan vaksin COVID-19 yang kian menurun sepanjang tempoh tiga hingga enam bulan ini, Malaysia telah mula memberikan dos penggalak kepada penerima vaksin berdasarkan jangka masa selepas mereka menerima imunisasi lengkap sebelum ini.
Menteri Kesihatan Malaysia: Pengumuman Terkini
Pengumuman kehilangan status vaksinasi lengkap bagi penerima vaksin Sinovac itu dibuat oleh Khairy Jamaluddin pada hari yang sama beliau mengumumkan bahawa Malaysia telah mengesan kes kedua membabitkan varian Omicron di negara ini. Berikutan pengesanan kes kedua varian Omicron di negara ini, Prosedur Operasi Standard (SOP) tambahan telah digariskan bagi mengekang penularan varian membimbangkan itu.
Katanya, cadangan tersebut telah disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 – Booster (CITF-B) pada 8 Disember lepas. Tambahnya lagi, “Sekiranya penerima Sinovac tidak segera berbuat demikian, status anda akan kembali berwarna putih dan tidak divaksin sepenuhnya di MySejahtera.” Melalui kenyataan tersebut juga, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega akan diaktifkan semula bagi mempercepatkan pemberian dos penggalak kepada seluruh rakyat Malaysia.
Segera Dapatkan Dos Penggalak Anda
Cik Min harap, penerima-penerima Sinovac dapat menyegerakan diri anda untuk mendapatkan dos penggalak ya! Semoga usaha yang dicadangkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia kita ini dapat membantu Malaysia dalam mengekang penularan wabak COVID-19 dengan lebih baik pada masa akan datang. Cik Min doakan agar semua rakyat Malaysia dilindungi dan terus sihat sentiasa.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.