Menara Warisan Merdeka – KL 118

08/12/2021 by No Comments

Baru-baru ini, Menara Warisan Merdeka 118 telah menjadi menara kedua tertinggi di dunia! Hal ini susulan satu majlis penyempurnaan pemasangan puncak Menara Merdeka yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lalu. Menara Merdeka 118 ini menjadi menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa secara rasmi dan tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 678.9 meter.

Ikuti perkongsian maklumat tentang Menara Warisan Merdeka 118 di bawah.

Majlis Penyempurnaan Pemasangan Puncak Menara Merdeka

Menerusi Majlis Penyempurnaan Pemasangan Puncak Menara Merdeka tersebut, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengakui berbangga kerana puncak menara ini dapat disempurnakan walaupun negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Ini bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju.”

“Saya juga difahamkan, Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij.”

“Ini menjadikan Merdeka 118 menjadi penanda aras industri di Malaysia sebagai menara ikonik untuk masa depan,” katanya ketika merasmikan majlis pemasangan puncak menara Merdeka 118 hari ini.

Menara Warisan Merdeka
Ismail Sabri (tengah) menyempurnakan gimik Majlis Penyempurnaan Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118 pada Selasa. Turut kelihatan Tun Arifin (kiri) dan Ahmad Zulqarnain.

Perdana Menteri juga menyifatkan pembinaan Merdeka 118 bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

“Menara ini akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur, sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain yang sedang rancak membangun seperti KLCC dan KL Sentral.”

“Pembangunan Merdeka 118 juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi.”

Keistimewaan Menara Warisan Merdeka

Menerusi Twitter Skyscrapers MY, keseluruhan presint Merdeka 118 ini merangkumi pembangunan bercampur termasuklah Stadium Merdeka yang akan dibuka kepada awam untuk riadah. Selain itu, sebanyak 83 tingkat daripada 118 tingkat menara utama tersebut akan menempatkan pejabat, 60 daripadanya akan diisi oleh PNB. Baki tingkat selebihnya akan diisi oleh Park Hyatt.

Di bahagian bawah menara ini terdapat pusat membeli-belah, taman awam seluas 4 ekar, serta masjid baharu yang dapat memuatkan 3000 jemaah. Selain itu, terdapat juga pusat jagaan kanak-kanak, serta galeri dan anjung tinjau untuk sudut fotografi.

Di bahagian atas menara, terletaknya dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara. Di sini, pengunjung dapat menikmati panorama 360° Kuala Lumpur, serta melakukan aktiviti-aktiviti yg menggerunkan seperti berjalan di luar menggunakan tali pada ketinggian 500 meter dari atas tanah. Tiang puncak menara (spire) tersebut juga boleh dimasuki oleh pengunjung pada ketinggian 566 meter, seterusnya menjadikannya sebagai dek pemerhatian tertinggi di dunia!

Selain itu, terdapat juga lif panel kaca yang boleh dinaiki dari tingkat bawah hingga ke atas, untuk menyaksikan panorama dalam keadaan menaik pada kelajuan 8 meter sesaat. Memang menariklah!

Informasi Lanjut

Infografik di bawah menunjukkan maklumat secara terperinci mengenai Menara Warisan Merdeka 118.

Untuk makluman anda, walaupun spire sudah mencapai ketinggian penuh, projek Menara Warisan Merdeka 118 ini masih belum siap sepenuhnya dan masih sedang rancak dibina. Menara dan taman awam dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2022.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.

Trend, Travel dan Filem

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *