Kebakaran Flat Sri Johor | Kerugian Sehingga RM40,000
Kebakaran Flat Sri Johor telah mendatangkan pelbagai kerugian buat mangsa-mangsanya. Pada malam 19 Disember, Flat Sri Johor, Cheras telah dilaporkan terbakar. Cik Min juga difahamkan, kebakaran tersebut berlaku dipercayai berpunca daripada kebocoran gas yang kemudiannya meletup.
Kebakaran Flat Sri Johor: Kerugian
Simpanan bertahun-tahun seorang mangsa kebakaran Perumahan Awam Sri Johor, Bandar Tun Razak, di sini, hilang begitu sahaja apabila wang tunai RM40,000 miliknya hangus dijilat api. Mangsa, T. Mary, 37, berkata selain kesal kerana menyimpan wang tunai yang banyak di dalam rumahnya, dia juga turut terkilan kerana gagal menyelamatkan beberapa barangan kemas yang dikumpul sejak sekian lama.
“Ketika kejadian, saya berada di tempat kerja berhampiran hospital berdekatan dan menerima panggilan daripada kakak mengenai kebakaran ini. Terdapat tujuh orang yang tinggal di dalam rumah itu dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Namun apabila semua ini terjadi, penyesalan terus menghantui diri saya kerana menyimpan wang tunai sebanyak itu di dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Tentang Kebakaran Flat Sri Johor
Dalam kejadian kira-kira 9.20 malam itu, lapan unit rumah di tingkat empat, Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor telah terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kebakaran tersebut dipercayai bermula dari bahagian tengah blok berkenaan, lalu merebak di keseluruhan tingkat. Kebakaran itu juga telah berjaya dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekitar jam 11 malam.
Kenyataan Mangsa: R. Vincent, 30-an
Seorang lagi mangsa kebakaran, R. Vincent yang berusia lingkungan 30-an berkata, ketika itu beliau telah menerima sebuah panggilan mengenai kebakaran itu daripada kakaknya. Namun, dia tidak sempat untuk pulang ke rumah.
Katanya lagi, “Ketika itu, saya berada di Taman Maluri, di sini, bersama isteri dan dua anak untuk makan malam dan tiba-tiba, kakak menelefon saya memaklumkan rumah sedang terbakar. Saya sangat terkejut dan terus bergegas pulang. Apabila sampai di rumah, saya lega melihat kakak saya sempat menyelamatkan diri dengan memecahkan mangga pintu rumah dengan menggunakan pisau, kerana kunci rumah ada pada saya.”
Penempatan dan Bantuan buat Para Mangsa
Walaupun kejadian ini amat dikesali, namun Cik Min tetap bersyukur kerana semua penduduk dan mangsa kebakaran Flat Sri Johor bakal ditempatkan di dewan serbaguna sebagai tempat tinggal sementara. Terbaru, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob juga berkata, bantuan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada keluarga yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
Lega hati Cik Min… Walaupun kesan daripada kebakaran ini sudah semestinya lebih besar dan berat untuk dipikul, namun Cik Min tetap berharap agar segalanya dipermudahkan buat mereka.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.