Inisiatif Butterfly Effect di KLIA
Dua tahun yang lepas, pihak Malaysia Airports Berhad (MAHB) telah memperkenalkan inisiatif baharu yang bakal diguna pakai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang dikenali sebagai “Butterfly Effect” buat penumpang-penumpang istimewa.
Menyedari kesukaran perjalanan yang dihadapi warga istimewa dan kurang upaya dalam menguruskan urusan perjalanan, KLIA telah menawarkan pelbagai kemudahan bermula dari balai ketibaan sehinggalah ke pintu perlepasan.
Apa itu Butterfly Effect?
Diilhamkan daripada metafora The Butterfly Effect atau Efek Rama-Rama, ia memfokuskan terhadap perubahan-perubahan kecil yang dapat memberikan impak positif kepada pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan mesra buat golongan sasar.
Golongan sasar yang dimaksudkan bagi inisiatif Butterfly Effect ini adalah individu-individu yang mempunyai keadaan khas seperti Autisme, Attention Deficit/ Hyperactivity Disorder (ADHD), Global Development Delay (GDD) dan Sensory Processing Disorder.
Kemudahan dan Servis yang Boleh Diakses
1. Calm Room | Inisiatif Butterfly Effect di KLIA
Calm Room yang merupakan salah satu inisiatif Butterfly Effect di KLIA ini bertujuan sebagai tempat menenangkan diri sebelum perjalanan. Ia terletak di Aras 5, Bangunan Terminal Utama, KLIA.
Gunakan kod akses yang disediakan dalam Butterfly Kit tuan puan untuk memasuki bilik berkenaan. Ibu bapa dinasihatkan untuk menemani dan mengawasi anak-anak semasa berada di dalam Calm Room.
2. Sensory Walls | Inisiatif Butterfly Effect di KLIA
Sensory Walls adalah dinding deria yang sangat interaktif. Ia terletak di sepanjang perjalanan tuan puan yang meliputi seluruh kawasan KLIA. Terdapat enam Sensory Walls di Terminal Utama KLIA dan empat di KLIA2 untuk para pengunjung cuba.
Cara Memohon Butterfly Lanyard di KLIA
1. Klik di sini untuk membuat pra-pendaftaran sebelum lawatan dan penerbangan.
2. Lanjut ke Pusat Informasi CARE lapangan terbang yang terletak di Aras 5, Bangunan Terminal Utama, KLIA atau kaunter informasi lapangan terbang yang terletak di Aras 3, KLIA2 semasa anda di dalam perjalanan untuk mengambil Butterfly Kit.
Nota: Sila bawa kad OKU atau surat daripada mana-mana hospital yang menyatakan keadaan istimewa yang dialami pengunjung, bagi mendapatkan Butterfly Kit dan Butterfly lanyard.
3. Jika hadir sebagai penumpang ketibaan, tuan puan boleh pergi ke kaunter informasi yang terletak berhampiran stesen Aerotrain di Contact Pier untuk memperoleh Butterfly Kit tersebut.
4. Pengunjung dinasihatkan untuk memakai Butterfly Lanyard setiap masa sepanjang berada di lapangan terbang. Dengan cara ini, tuan puan akan diberi akses kepada semua lorong utama seperti di pusat pemeriksaan keselamatan, imigresen dan kastam.
5. Tuan puan boleh menyimpan lanyard tersebut untuk lawatan seterusnya ke KLIA. Walau bagaimanapun, sila daftar semula di Pusat Informasi CARE Lapangan Terbang setiap kali berkunjung ke sini.
Malaysia Airports Holdings Berhad percaya inisiatif ini kemudiannya akan diperluaskan ke kebanyakan lapangan terbang lain di seluruh negara dan seterusnya memberi manfaat kepada lebih ramai penumpang berkeperluan khas.
Setakat ini dahulu perkongsian Cik Min tentang “Inisiatif Butterfly Effect di KLIA”. Untuk mendapatkan lebih banyak artikel menarik, anda boleh layari laman portal Cerita Malaysia.
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Trend, Travel dan Filem.