Global Sumud Flotilla : Suara Laut Solidariti
Pada penghujung Ogos 2025, dunia menyaksikan sebuah gerakan maritim yang luar biasa , Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditubuhkan bagi memecah sekatan laut ke Gaza dan menghantarkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terkepung.
Fakta Utama Tentang Global Sumud Flotilla
Siapa di Sebalik Misi Ini?
GSF ialah gabungan gerakan masyarakat sivil antarabangsa yang terdiri daripada aktivis, doktor, pelaut, peguam, dan artis. GSF ditubuhkan oleh kumpulan seperti Freedom Flotilla Coalition, Global Movement to Gaza, dan Maghreb Sumud Flotilla, serta Sumud Nusantara dari Malaysia.
Misi ini terdiri daripada lebih 15 000 orang dari 44 negara termasuk tokoh global seperti Greta Thunberg dan yang lain.
Apakah Misi GSF dan Tujuannya?
Misi GSF adalah usaha maritim bukan kerajaan terbesar dalam sejarah untuk menerobos blokade Israel ke Gaza, dan membuka koridor bantuan melalui laut. Misi utama mereka jelas iaitu menentang apa yang digambarkan sebagai “genosid” dan penderitaan rakyat Palestin.
Bilakah Misi Ini Bermula?
GSF bermula dengan fasa mobilisasi mulai pertengahan 2025, dilancarkan secara rasmi pada 31 Ogos ketika konvoi pertama berlepas dari Barcelona. Beberapa kapal kemudian menyertai dari Genoa pada 30 Ogos, serta Tunis dan Catania sekitar 7 September, dengan sasaran tiba di Gaza pada pertengahan September.
Di Manakah Titik Permulaannya ?
Konvoi dimulakan dari pelabuhan Barcelona dan Genoa, melalui laluan Mediterania yang melibatkan perhentian teknikal di Menorca akibat cuaca buruk sebelum berhimpun semula dan menuju ke perairan Tunisia, seterusnya ke Gaza.
Mengapa Misi Ini Ditubuhkan?
Tujuan Flotilla ini adalah menyampaikan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan dan air kepada warga Gaza yang menghadapi kelaparan dan kehilangan ribuan nyawa akibat konflik yang semakin parah. Nama “Sumud” sendiri melambangkan keteguhan semangat dan solidariti global terhadap rakyat Palestin.
Bagaimana Misi Ini Diatur dan Dilaksanakan?
Misi ini dirancang secara global dengan penyertaan dari Sumud Nusantara (Malaysia), pelbagai NGO solidariti, dan koordinasi logistik rapi termasuk latihan, pendaftaran peserta dan cakna media. Cuaca buruk menyebabkan beberapa kapal kecil terpaksa kembali, namun mereka berkumpul semula di Menorca sebelum meneruskan pelayaran ke Tunisia.

Selepas memahami latar belakang dan tujuan utama Flotilla Global Sumud, penting untuk melihat bagaimana misi ini berkembang sepanjang perjalanannya. Setiap fasa pelayaran telah menghadapi cabaran besar, daripada ancaman politik hingga keadaan cuaca yang tidak menentu. Oleh itu, mari kita teliti situasi semasa terkini yang sedang dihadapi Flotilla ini.
Situasi Semasa Terkini
Serangan oleh Dron di Perairan Tunisia
Pada 9 September 2025, sebuah kapal GSF yang membawa komiti pengarah dan Greta Thunberg, dilaporkan terkena serangan dron yang menyebabkan kebakaran, namun kesemua enam kru selamat. Pihak berkuasa Tunisia menafikan dakwaan adanya serangan luar, menyatakan letupan kemungkinan berlaku dari dalam kapal.
Insiden ini disusuli dengan himpunan solidariti di pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia, dengan penyokong membawa bendera Palestin.
Cuaca Buruk & Penyesuaian
Beberapa kapal kecil terpaksa berpatah balik atau berhenti di Menorca akibat cuaca ekstrem dan masalah teknikal. Namun, alhamdulillah cuaca kembali tenang, membolehkan kapal-kapal regroup sebelum menuju ke destinasi akhir.
Ancaman Politik oleh Israel
Kerajaan Israel menyatakan niat untuk menganggap peserta Flotilla sebagai “pengganas”, serta merampas kapal mereka untuk kegunaan tentera serta menahan peserta di penjara tinggi keselamatan.
Menurut rancangan yang dikemukakan oleh Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, peserta Flotilla akan ditahan dalam penjara berkeamanan tinggi seperti Ketziot dan Damon, dan kapal-kapal akan diambil alih untuk kegunaan tentera.
Namun, pihak GSF mengecam ancaman ini sebagai “tidak berasas dan tidak adil,” serta melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva.
Seruan Perlindungan Europe
GSF menyeru kerajaan Sepanyol dan Kesatuan Eropah agar menjalankan tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi misi ini daripada sebarang serangan.
Ringkasan
Kesimpulannya, bagi Cik Min, Global Sumud Flotilla (GSF) ni memang bukti hebat yang dunia tak pernah berhenti bersuara untuk Palestin. Dari Barcelona sampai ke Gaza, dengan sokongan ramai tokoh besar termasuk Greta Thunberg, Flotilla ini jadi simbol keberanian dan semangat solidariti global.
Walaupun diuji dengan cuaca dan serangan, mereka tetap tabah berlayar demi buka jalan bantuan. Inilah semangat yang harus kita teruskan harapan yang tak pernah padam untuk rakyat Palestin. Semoga semangat Global Sumud Flotilla terus menjadi inspirasi dunia untuk teguh bersama rakyat Palestin.
Setakat ini dahulu perkongsian Cik Min tentang “Global Sumud Flotilla : Suara Laut Solidariti” pada kali ini. Untuk ketahui lebih banyak lagi artikel menarik, anda boleh layari laman portal Cerita Malaysia.
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Trend, Travel dan Filem.