Belon Udara Panas Malaysia

14/12/2021 by No Comments

Anda semua pernah naik tak belon udara panas? Kalau Cik Min memang tak pernahlah! Cik Min sebenarnya teringin juga nak naik atau lihat belon udara panas di Malaysia. Ramai orang kata seronok!

Jadi, melalui entri kali ini, Cik Min nak berkongsi dengan anda semua tentang pengalaman naik belon udara panas Malaysia! Kebiasaannya, kita lihat belon udara panas ni banyak di negara luar seperti di Cappadocia, Turki kan? Tiba-tiba teringat pula filem Malaysia yang bertajuk Manisnya Cinta di Cappadocia itu! Hehehe.

Perkongsian berharga ini Cik Min ambil daripada portal Kosmo. Jom baca artikel lanjut di bawah.

Belon Udara Panas Malaysia

Pengalaman Menaiki Belon Udara Panas Malaysia

Menerusi portal Kosmo, Chong Wee Foon berkongsi pengalamannya yang kali pertama melangkah masuk ke dalam bakul yang menempatkan ruang penumpang belon udara panas. Dia bersama rakannya, Johnny Chee Fung Chuan dan seorang lagi penumpang sudah berada di dalam bakul, kemudian pengemudi menarik sebatang tombol besi agar nyalaan api pada gegelung pembakar menjadi semakin deras bagi menghasilkan udara panas untuk menaikkan belon udara berkenaan.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki belon udara panas. Sebelum ini, saya ada merancang untuk menaikinya ketika Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya yang diadakan beberapa tahun lalu, tetapi tidak berjaya kerana terlalu ramai orang.”

“Apabila saya dapat tahu di sini ada menawarkan aktiviti belon udara panas, saya terus datang kerana ingin merasai sendiri pengalaman menaikinya.”

“Walaupun belon ini naik tidak begitu tinggi, tetapi ia sudah cukup untuk membuatkan saya berasa gayat. Tapi bila memikirkan pemandangan yang dapat dinikmati dari udara, ia sudah cukup untuk membuatkan saya lupa perasaan takut buat seketika.” 

Chong Wee Foon ditemui di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation (SEVRR) di Semenyih, Selangor baru-baru ini bercakap tentang belon udara panas Malaysia.

Semenyih Eco Venture Resort & Recreation (SEVRR)

Pengemudi belon udara panas di (SEVRR), Nordin Hussein, 67, menerangkan, tidak seperti kebiasaannya, aktiviti yang ditawarkan di situ adalah bersifat santai dengan belon akan dinaikkan pada ketinggian maksimum 300 meter sahaja. Katanya, ia bagi memastikan tahap keselamatan pengunjung sentiasa pada tahap tertinggi selain memikirkan kemungkinan individu yang akan menaikinya terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

“Disebabkan aktiviti menaiki belon udara panas yang diadakan di sini berkonsep santai, jadi kami mengehadkan tahap ketinggian belon supaya ia lebih selamat.”

“Kami juga menetapkan aktiviti ini dibuka pada waktu awal pagi sahaja iaitu bermula pukul 7 hingga 10.30 pagi atas faktor keselamatan terutama berkaitan tiupan angin dan udara di kawasan sekitarnya,” katanya yang sudah berpengalaman lebih 25 tahun menjadi pengendali belon udara panas.”

Aktiviti Menaiki Belon Udara Panas Malaysia

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEVRR, Datuk Stanley Chew berkata, aktiviti tersebut ditawarkan pada setiap hari Sabtu dan Ahad sebagai salah satu daya tarikan baharu untuk pengunjung yang berkunjung ke resort tersebut.

Katanya, selain menginap dan menghayati kehijauan alam di Semenyih dan melakukan aktiviti lasak seperti menunggang ATV, berkayak, flying fox dan sukaneka bersama keluarga, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman menaiki belon udara panas dengan kadar bayaran yang sangat munasabah.

“Di SEVRR, kami ingin pengunjung merasai kelainan dan mengutip sebanyak mungkin pengalaman berharga sepanjang mereka berada di sini.”

“Aktiviti menaiki belon udara panas ini mungkin menjadi salah satu pengalaman yang menarik bagi mereka kerana ia tidak selalu ada dan jika ditawarkan pada mana-mana festival atau karnival berskala besar, mungkin bayarannya agak tinggi dan terpaksa menunggu giliran yang lama kerana ramai orang.”

“Tetapi di sini, kami hanya mengenakan bayaran sekitar RM250 untuk tiga hingga empat orang dengan tempoh berada di udara sekitar 10 hingga 15 minit untuk menikmati pemandangan sekitar resort dan kawasan berhampiran.”

Menurut Stanley lagi, bagi mereka yang mengambil pakej penginapan di resort itu pula, kadar bayaran bagi bilik dan aktiviti menaiki belon udara panas itu hanyalah RM450. Tambahnya, sejak dibuka kepada pengunjung bermula awal November lalu, pihaknya turut menerima banyak pertanyaan daripada pengunjung dan orang awam yang berminat untuk merasai pengalaman menaikinya. Justeru katanya, dia merancang untuk membuka sesi kedua aktiviti tersebut daripada hanya sesi pagi kepada tambahan sesi petang sekiranya bersesuaian dengan aspek keselamatan bagi memberi peluang lebih ramai pengunjung menaikinya.

Belon Udara Panas Malaysia
Belon Udara Panas Malaysia

Setelah baca pengalaman yang dikongsikan oleh Chong Wee Foon ini membuatkan Cik Min teruja untuk naik belon udara panas Malaysia. Bila berada di atas itu kan, mesti dapat tengok pemandangan yang indah. Ish tak sabar pula! Nanti nak pergilah hujung minggu ni. Hehehe.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.

Trend, Travel dan Filem

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *