Mangsa Banjir di Terengganu Meningkat

01/03/2022 by No Comments

Situasi terkini banjir yang semakin buruk menyebabkan mangsa banjir di Terengganu meningkat. Cik Min lihat, rata-rata netizen di media sosial seperti Twitter turut berkongsi gambar dan video terkini mengenai banjir tersebut.

Melalui entri kali ini, Cik Min ingin berkongsi dengan anda semua perkembangan terkini mangsa banjir di Terengganu yang semakin meningkat. Informasi bermanfaat ini Cik Min dapatkan daripada portal My Metro.

Mangsa Banjir di Terengganu Meningkat

Situasi Terkini Banjir di Terengganu

Mangsa banjir di Terengganu semakin meningkat apabila seramai 17,742 orang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri itu pagi hari ini, berbanding 15,398 orang pada malam tadi.

Ia menyaksikan 141 PPS dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa daripada 4,557 keluarga.

Pada malam tadi, dilaporkan sebanyak 3,965 keluarga ditempatkan di 139 PPS.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi yang terjejas akibat bah yang melanda Terengganu sejak Jumaat lalu.

Ketika ini, seramai 8,027 mangsa daripada 2,055 keluarga berada di 27 PPS di Kemaman.

Di Hulu Terengganu, sebanyak 801 keluarga membabitkan 3,700 mangsa dipindahkan ke 21 PPS.

Mangsa banjir di Dungun pula merekodkan seramai 2,988 orang daripada 873 keluarga berada di 29 PPS.

Di Besut, sebanyak 242 keluarga membabitkan 908 mangsa ditempatkan di 26 PPS, manakala 21 PPS masih dibuka di Setiu bagi menempatkan 848 mangsa daripada 252 keluarga.

Sembilan PPS juga diaktifkan di Kuala Terengganu dengan 728 mangsa daripada 188 keluarga masih berada di PPS berkenaan.

Di Kuala Nerus pula, seramai 538 mangsa yang terjejas dipindahkan ke tujuh PPS, manakala di Marang, tiada pertambahan mangsa direkodkan dengan lima beranak berada di sebuah PPS.

Remaja 15 Tahun Korban Pertama Banjir

Menerusi BERNAMA, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu setelah ditemui lemas berhampiran rumahnya di Kampung Cheneh Baru, Kemaman, pada petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata, sebelum ditemukan lemas, mangsa Muhammad Alimi Hashim, 15, dikatakan bermain air banjir di halaman rumahnya bersama dua adik beradiknya.

Setelah menyedari kehilangan mangsa, mereka segera memberitahu keluarga sebelum mencari dan menemui mangsa yang pada masa itu sudah lemas. Orang awam kemudian bergegas menghubungi pihak polis.

Menurutnya, kawasan rumah mangsa dinaiki air sedalam kira-kira satu meter. Dia berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat. Dalam pada itu, Supt. Hanyan menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mengingatkan ibu bapa agar memantau anak-anak mereka. Hal ini kerana, walaupun air cetek, keadaan tetap berbahaya.

“Saya juga ingin menasihatkan penjala dan pemancing tegar, nak cari ikan dalam musim banjir ini pergilah, tapi tolonglah pakai jaket keselamatan. Perkara ini sudah banyak kali diingatkan pihak berkuasa …tolong jaga keselamatan masing-masing di musim banjir ini.”

Perkongsian Mengenai Banjir | Mangsa Banjir di Terengganu Meningkat

Cik Min lihat satu perkongsian di laman Twitter, mengenai situasi terkini banjir yang berlaku di Taman Osaka, Kemaman Terengganu pada pagi ini.

Mangsa Banjir di Terengganu Meningkat

Menerusi gambar daripada Puan Riduanyana ini menunjukkan keadaan banjir masih belum surut dan banyak rumah kediaman masih ditenggelami air.

Mangsa Banjir di Terengganu Meningkat

Setakat ini sahaja perkongsian Cik Min mengenai mangsa banjir di Terengganu meningkat kali ini. Semoga artikel ini dapat memberikan maklumat dan manfaat kepada semua.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.

Trend, Travel dan Filem

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *