Tips Keselamatan Selepas Banjir

21/12/2021 by No Comments

Alhamdulillah, cuaca nampak baik sejak dua hari ini kan? Cik Min bersyukur sangat bila tengok orang ramai mula share yang air dah mulai surut di tempat masing-masing, dan ada yang dah mula mengemas rumah pun! Oleh itu, hari ini Cik Min nak share sikit antara tips keselamatan selepas banjir yang perlu kita semua ketahui sebelum memasuki kediaman masing-masing.

Tips Keselamatan Selepas Banjir Sebelum Memasuki Rumah atau Bangunan

tips keselamatan selepas banjir

Cik Min faham, mesti ramai yang dah tak sabar nak balik dan tengok keadaan rumah masing-masing bukan? Walau bagaimanapun, keselamatan tetap harus diutamakan ya! Jadi ini antara tips keselamatan selepas banjir yang boleh anda guna pakai:

1. Elakkan diri daripada memasuki rumah sekiranya masih ditenggelami atau dikelilingi banjir – Hal ini sangat penting kerana kita tidak tahu bahaya apa yang akan menanti ataupun tersembunyi di sebalik air tersebut.

2. Gunakan kasut yang bersesuaian – Anda digalakkan untuk memakai kasut yang tebal ataupun tinggi seperti but keselamatan ketika membuat pemeriksaan rumah mahupun bangunan.

3. Periksa sebarang kehadiran haiwan atau serangga berbisa dan berbahaya – Apabila banjir berlaku, sudah semestinya haiwan-haiwan lain juga akan keluar dari habitat asalnya. Oleh itu, anda disarankan untuk menggunakan kayu ketika mengalihkan sebarang halangan.

4. Periksa siling, dinding, lantai, pintu dan juga tingkap – Ini adalah untuk mengelakkan risiko kereputan dan keruntuhan. Perhatikan juga tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mungkin sudah tidak selamat untuk digunakan lagi.

5. Buang bahan perubatan dan makanan yang tercemar – Ini adalah bagi memastikan agar segala makanan yang sudah tercemar tidak digunakan lagi, terutamanya barangan dalam tin.

6. Periksa semua peralatan dan perkakasan elektrik – Pastikan anda mengeringkan kesemua peralatan elektrik sebelum mencuba dan menggunakannya semula.

7. Laporkan kebocoran gas atau elektrik – Setelah melakukan pemeriksaan, jika anda menjumpai sebarang sumber kebocoran gas atau elektrik, laporkan serta merta!

8. Elakkan pengendalian peralatan elektrik di kawasan basah – Ini adalah untuk menghindari risiko renjatan yang mampu membawa maut.

Tips Keselamatan Tambahan Selepas Banjir

tips keselamatan selepas banjir

Ada satu lagi yang Cik Min nak tambah iaitu, anda juga perlu memeriksa sebarang ancaman berbahaya seperti:

1. Saluran paip gas yang mungkin pecah atau bocor.

2. Kerosakan sistem elektrik seperti percikan api, wayar pecah atau bau penebat terbakar. Sekiranya ada, segera matikan elektrik pada pemutus litar utama.

3. Gunakan lampu berkuasa bateri kerana bahan mudah terbakar mungkin ada di persekitaran anda.

4. Periksa bahan-bahan mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir seperti minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya.

5. Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi dan laporkan sebarang kerosakan kemudahan awam kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.

Utamakan Keselamatan

Jadi itu sahaja tips keselamatan selepas banjir yang ingin Cik Min kongsikan buat masa ini. Cik Min berharap agar air banjir akan mulai surut dengan lebih baik tidak lama lagi, supaya semua rakyat Malaysia yang terjejas dapat pulang ke kediaman masing-masing untuk tujuan pemeriksaan dan pembersihan. Ingat, keselematan tetap harus diutamakan ya! Semoga semuanya dipermudahkan untuk anda semua!


Penafian

Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *