Pesawat Hawk TUDM Terhempas, Seorang Maut

17/11/2021 by No Comments

Hari ini, kita dikejutkan dengan satu tragedi maut yang melibatkan sebuah pesawat Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Pangkalan Udara TUDM Butterworth, Pulau Pinang.

Cik Min sedia maklum bahawa, tragedi tersebut berlaku ketika kedua-dua orang mangsa sedang menjalani latihan penerbangan (Night Flying). Pesawat Hawk TUDM itu terhempas ketika mereka hendak melakukan pendaratan di landasan Pangkalan TUDM.

Pesawat Hawk TUDM Terhempas
Sumber: MStar

Tragedi yang berlaku pada pukul 10:07 malam itu dilaporkan telah mengorbankan seorang anggota tentera, manakala seorang lagi mengalami kecederaan.

Anggota yang maut ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy dan rakannya yang tercedera ialah Mejar Mohd Fareez Omar. Mangsa yang tercedera telah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan. Manakala, urusan pengebumian Kapten Mohd Affendi sedang diuruskan bagi tindakan selanjutnya.

Penduduk yang tinggal berhampiran dengan Pangkalan TUDM itu terkejut dengan bunyi pesawat yang lain daripada kebiasaan diikuti dentuman yang sangat kuat.

Menurut saksi kejadian, Mastura Mohammad Nordin, 44, dia meluru ke luar untuk menyaksikan apa yang berlaku di landasan Pangkalan TUDM selepas terdengar bunyi dentuman sebanyak dua kali.

Dia terkejut kerana melihat sebuah pesawat TUDM (Hawk 108) terhempas dan terbakar di lapangan pangkalan udara berkenaan.

Datuk Seri Hishammuddin Zahir Ucapan Takziah Menerusi Akaun Twitternya

Berikutan tragedi yang berlaku itu, Menteri Kanan Pertahanan iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa yang terlibat.

Beliau yang menerima perkhabaran tragedi itu daripada Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, memberi arahan supaya TUDM menyiasat punca pesawat terhempas.

Tambahnya lagi, arahan untuk menyalurkan keperluan kepada keluarga kedua-dua mangsa pesawat Hawk TUDM terhempas telah diberikan kepada @MINDEFMalaysia.

Pada masa yang sama, Cik Min difahamkan, Bahagian Perhubungan Awam TUDM memberi kenyataan bahawa TUDM akan mewujudkan Lembaga Siasatan Terperinci berikutan tragedi yang berlaku itu.

Tahukah anda? – Kronologi Pesawat Hawk TUDM Terhempas

 Sumber: Astro Awani
Sumber: Astro Awani

Tragedi maut yang melibatkan pesawat milik TUDM pernah terjadi sebelum ini.

Berikut adalah antara kronologi nahas yang menimpa beberapa orang anggota TUDM, termasuk yang melakukan pendaratan cemas dan yang terhempas:

  • 10 April 2001 – Juruterbang pelatih maut setelah pesawat Pilatus PC-7 yang dikendalikannya terhempas di sawah berhampiran Kampung Kepala Parit, Kedah.
  • 23 Jan 2002 – Dua juruterbang terselamat selepas pesawat Aermacchi MB-339 terhempas di kawasan hutan Tasik Kenering berhampiran Empangan Air Kala di Gerik, Perak.
  • 18 Dis 2003 – Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat pejuang Hawk 100 terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.
  • 16 Dis 2004 – Juruterbang pelatih dan jurulatihnya terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 dari Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia, Kepala Batas, Kedah, terhempas.
  • 23 Jun 2005 – Jet pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara TUDM Labuan, Labuan, mengorbankan juruterbangnya.
  • 11 Sept 2009 – Pesawat Pilatus PC-7 Mark II terhempas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah. Dua juruterbang terbunuh.
  • 25 Mac 2010 – Juruterbang terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 Mark II yang dikendalikannya terhempas di kawasan hutan dekat Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah.
  • 17 Mei 2016 – Jurulatih dan pelatih terselamat selepas pesawat latihan Aermacchi MB-339CM terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan, Pahang.
Sumber: Youtube Berita RTM
  • 21 Dis 2016 – Juruterbang maut manakala tiga lagi cedera apabila pesawat Beechcraft B200T yang dinaiki mereka terhempas berdekatan Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.
  • 15 Jun 2017 – Pesawat pejuang Hawk 108 terhempas di Chukai, Terengganu dan mengakibatkan dua juruterbang maut.
https://youtu.be/73nbIqmHAO8
Sumber: Youtube Harian Metro

Cik Min mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa tragedi pesawat Hawk TUDM yang terhempas. Semoga roh mangsa-mangsa yang terkorban, dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. 

Al-Fatihah.

Penafian

Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Lebih banyak artikel menarik di CeritaMalaysia.

Trend, Travel dan Filem

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *